Iklan Korban 2014

Iklan Korban 2014

Tuesday 30 July 2013

Jenayah: PAS gesa panggil sidang khas parlimen

Abdul Aziz Mustafa,31 Jul 2013

KUALA LUMPUR: Kerajaan hendaklah memanggil segera sidang khas Parlimen bagi membahaskan berleluasanya jenayah berat terutama yang melibatkan pembunuhan menggunakan senjata api, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Satu sidang khas Parlimen mesti dipanggil segera sebelum Hari Raya.

"Bagaimana rakyat hendak pulang ke kampung menyambut Aidil Fitri sedangkan bukan sahaja keselamatan harta tidak terjamin malah keselamatan nyawa pun tidak terjamin.

"Jaminan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) bahawa pihak polis akan mempertingkatkan penguatkuasaan keselamatan tidak mampu lagi meredakan kebimbangan rakyat kerana polis kelihatan sudah hilang kawalan," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu merasa amat bimbang kerana keadaan keselamatan negara kini seolah-olah ditentukan oleh penjenayah.

"Seolah-olah penjenayah yang menentukan bila mereka hendak mengganas dan bila mereka hendak berehat sebentar dari melakukan keganasan," katanya.

Mahfuz juga mempertikaikan kenyataan Ketua Polis Negara bahawa pihaknya akan mempertingkatkan keselamatan sedangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri seolah-olah mengaku kalah apabila berkata, polis di Malaysia menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan berbanding negara maju.

Zahid berkata, polis tidak boleh dipersalahkan dalam peningkatan kejadian pembunuhan menggunakan senjata api yang dilihat seolah-olah berleluasa sejak kebelakangan ini memandangkan mereka menghadapi kekurangan jumlah anggota dan peralatan.

"Sebagai contoh, di New York, Amerika Syarikat, seorang polis berkhidmat untuk 35 penduduk berbanding seorang polis di Malaysia berkhidmat untuk 700 penduduk untuk sesuatu kawasan," katanya.

Mahfuz menyifatkan kenyataan Zahid itu menambahkan lagi kebimbangan rakyat dan menguatkan lagi alasan supaya dipanggil segera sidang khas Parlimen bagi membahaskan berleluasanya jenayah itu.

"Jika sidang khas Parlimen itu diadakan, PAS akan memanggil pakar-pakar keselamatan yang terdiri bekas-bekas pegawai tinggi polis dan tentera bagi memberikan cadangan dan pandangan.

"Cadangan dan pandangan mereka itu akan dibawa oleh ahli-ahli Parlimen PAS untuk dibahaskan jika sidang khas itu dipanggil," katanya.

Mahfuz menegaskan, kerajaan tidak boleh berlengah-lengah lagi ketika kadar jenayah berat naik begitu mendadak dan membimbangkan sedangkan tidak sampai sebulan lalu media pro-kerajaan membantah malah mempersendakan dakwaan sebuah laman web bahawa Kuala Lumpur adalah bandaraya keenam paling berbahaya di dunia.

"Tetapi dengan berleluasanya pembunuhan menggunakan senjata api, dakwaan laman web itu perlu diberi perhatian serius," katanya.

Pertengahan Jun lalu, laman web 10awesome.com mendakwa Kuala Lumpur) dikatakan salah satu bandar yang paling berbahaya di dunia di mana kadar jenayah meningkat sebanyak 70 peratus dalam tempoh tiga tahun.

Rakyat kini semakin cemas dengan berlakunya beberapa kes melibatkan senjata api dalam masa beberapa hari sahaja.

Isnin lalu, Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Selain dua kes berprofil tinggi itu, satu lagi kes tembak dilaporkan semalam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang menyebabkan seorang cedera dan pada Ahad malam pula seorang lelaki maut dan dua parah ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di Ipoh.

No comments:

Post a Comment